Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit beralih daripada pengukuhannya semalam apabila dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun unit negara maju itu susut susulan peningkatan semula minat terhadap risiko.

Indeks dolar AS (DXY) yang mengukur nilai unit itu berbanding mata wang utama lainnya, mengalami aliran penyusutan ketara di tengah-tengah jangkaan bahawa Washington akan memperkenalkan pakej rangsangan tambahan serta kehadiran vaksin COVID-19 sebelum akhir tahun ini, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada di paras 4.1440/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1420/1460 yang dicatatkan sewaktu pasaran ditutup pada Rabu.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit terus diasak oleh kebimbangan mengenai prestasi negatif harga minyak selain arahan bekerja dari rumah bermula hari ini yang membabitkan kalangan warga Lembah Klang berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Namun, katanya, kebimbangan terhadap prestasi ringgit berbanding mata wang Asia dilihat dapat ditampung oleh pengukuhan yuan, cadangan pakej rangsangan ekonomi oleh calon Presiden AS Joe Biden dan penyusutan dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata kelemahan dolar AS itu agak ketara berbanding prestasinya dengan yen Jepun yang susut daripada 105.5 yen kepada 104.57 semalam manakala berbanding euro, dolar AS naik daripada US$1.1822 kepada US$1.1858.

Secara kolektif, DXY susut kepada 92.76 mata semalam berbanding 93.067 dalam sesi sebelumnya berikutan perbincangan mengenai pakej rangsangan fiskal AS antara Setiausaha Perbendaharaan Steve Mnuchin dan Speaker Dewan Nancy Pelosi ternyata menjadi penyebab utama kelemahan dolar berkenaan.

Menurutnya, Pelosi telah menyatakan bahawa rang undang-undang membabitkan pakej fiskal itu akan diluluskan selepas pemilihan presiden negara itu pada 3 November ini yang memanjangkan lagi ketidaktentuan di AS.

“Oleh itu, prestasi ringgit berbanding dolar AS mungkin menyaksikan jajaran lebih kecil hari ini. Keadaan politik domestik susulan pengumuman gencatan politik juga dilihat sebagai positif bagi memberi peluang untuk kerajaan menumpukan usaha membendung penularan pandemik serta pendekatan bagi memulihkan ekonomi menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

“Ini bagi saya merupakan sokongan terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu pasaran dibuka pagi ini, ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0569/0618 daripada 3.0555/0596 pada Rabu dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4452/4535 daripada 5.4066/4122.

Ringgit juga rendah berbanding yen kepada 3.9602/9671 daripada 3.9481/9531 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.9090/9178 daripada 4.9058/9109.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )