Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan pembetulan teknikal akibat aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran harga minyak mentah yang kukuh, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1920/1932 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1880 pada akhir urus niaga semalam.

Perkembangan yang menyaksikan harga minyak mentah Brent meningkat dan diniagakan 0.29 peratus lebih tinggi kepada AS$80.23 setong pada pagi ini, turut menyuntik sokongan terhadap ringgit.

Sementara itu, kalangan peniaga akan terus memantau risiko impak varian Omicron selain menumpukan pengumuman minit-minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan data pembayaran gaji di negara maju itu pada minggu ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0905/0916 daripada 3.0891/0906 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.6076/6089 daripada 3.6133/6153 sebelum ini.

Unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain kepada 5.6718/6734 daripada 5.6465/6489 pada Selasa namun mengukuh berbanding euro pada 4.7277/7291 daripada 4.7310/7337.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This