Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan kekurangan permintaan terhadap unit tempatan itu ketika harga minyak mentah mengalami penyusutan, kata seorang peniaga.
Pada 9.10 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1320/1350 berbanding dolar US daripada 4.1290/1320, semalam.
Ketika ini, harga minyak mentah kini didagangkan pada harga US$62.75 setong iaitu penurunan sebanyak 0.33 peratus.
Seorang peniaga berkata pengukuhan dolar US itu dipengaruhi oleh tindakan Washington yang dilaporkan menimbang untuk menggugurkan beberapa cukai yang dikenakan ke atas barangan China dalam konsesi bagi mendapatkan persetujuan perdagangan fasa pertama dengan Beijing.
Presiden Donald Trump dijangka menandatangan perjanjian perdagangan interim itu pada bulan ini.
Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7894/7929 daripada 3.7929/7960 sewaktu ditutup pada Selasa dan mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0400/0434 daripada 3.0443/0476, sebelum ini.
Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3220/3263 daripada 5.3248/3290 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5741/5779 daripada 4.5952/5989, sebelumnya.
— BERNAMA