Ringgit dibuka rendah ketika dolar US mengukuh

Ringgit dibuka rendah ketika dolar US mengukuh

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan unit negara maju itu terus mengukuh susulan pengumuman kemenangan secara rasmi Joe Biden sebagai presiden baharu Amerika Syarikat (AS).

Pada 9 pagi, ringgit dibuka 4.0580/0620 berbanding 4.0540/0580 ketika ditutup semalam.

Penganalisis berkata penurunan ringgit itu adalah disebabkan keyakinan yang lebih tinggi terhadap dolar US berikutan kemelut politik di AS telah reda dan pemvaksinan secara besar-besaran di negara itu telah bermula.

“Dengan penanda aras minyak mentah Brent kini mencecah US$50 setong, ringgit mempunyai momentum kenaikan sekiranya ekonomi tempatan terus mendorong pertumbuhan pada minggu-minggu berikutnya menjelang berakhirnya 2020.

“Bagaimanapun, kebimbangan masih menyelubungi pasaran tempatan terutamanya akibat peningkatan kes COVID-19 serta ketidakstabilan politik,” katanya.

Mengenai vaksin, suntikan pertama vaksin pertama COVID-19 telah dibuat oleh hospital AS semalam sebagai langkah awal dalam usaha bersejarah untuk memberi imunisasi kepada jutaan rakyat kerana kes kematian telah melepasi 300,000.

Di pasaran lebih meluas, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0438/0470 daripada 3.0413/0461 namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4130/4187 daripada 5.4352/4422 semalam susulan rundingan Brexit yang masih berlangsung.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.9329/9390 daripada 4.9280/9345 namun menambah berbanding yen Jepun kepada 3.8982/9028 daripada 3.9071/9113 semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )