Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan tanda-tanda deflasi dalam pasaran AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.5355/5415 berbanding dolar AS daripada 4.5255/5280 pada penutup Jumaat lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peningkatan ringgit minggu lalu agak terlalu optimistik memandangkan prospek China yang negatif serta jangkaan lebih banyak pengurangan kadar dan ini sepatutnya melemahkan nilai yuan China.

Innes berkata, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Pengeluaran Perindustrian suku kedua (S2) 2023 China akan menjadi tumpuan hari ini, dan pergerakan ringgit akan bergantung kepada laporan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit boleh stabil pada paras semasa dengan pasaran masih menantikan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan.

Beliau menambah kebimbangan terhadap kemampanan pemulihan China bermakna People’s Bank of China akan terus berpihak kepada pertumbuhan ekonomi dalam pendirian dasar monetarinya.

“Secara keseluruhannya, saya percaya MYR/USD akan kekal sekitar RM4.52 hingga RM4.53 hari ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut berbanding euro kepada 5.0902/0969 daripada 5.0799/0827 pada penutupan Jumaat, susut berbanding pound Britain kepada 5.9370/9448 daripada 5.9338/9371 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2747/2795 daripada 3.2659/2679 minggu lalu.

Ringgit turut diniagakan lemah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Unit tempatan rendah berbanding baht Thai kepada 13.0857/1091 daripada penutupan Jumaat pada 13.0689/0814 dan susut berbanding dolar Singapura pada 3.4321/4369 daripada 3.4263/4287 sebelumnya.

Ringgit merosot nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 303.1/303.7 daripada 302.5/302.8 minggu lalu dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.33/8.35 daripada 8.31/8.33.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This