Ringgit dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ringgit yang mencatatkan keuntungan minggu lepas, dibuka rendah sedikit pagi ini berbanding dolar AS dengan sentimen berhati-hati menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) menyebabkan para pelabur terus memegang dolar, kata para peniaga.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1520/1590 berbanding dolar AS daripada 4.1510/1550 ketika ditutup pada petang Jumaat lepas.

Keputusan kadar oleh FOMC dijangka pada Rabu.

Seorang peniaga berkata faktor luaran boleh menjejaskan unit tempatan dengan harga minyak kembali jatuh, dolar AS boleh menjadi tarikan untuk pelaburan selamat (safe haven).

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata ringgit mungkin boleh mengukuh berbanding dolar AS minggu ini ekoran permintaan yang kian baik untuk mata wang tempatan selepas Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus pada Khamis lepas.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata keputusan BNM mengekalkan penanda aras kadar faedah menunjukkan kepercayaan yang pemulihan ekonomi Malaysia benar-benar berlaku.

“Ini boleh merancakkan sentimen untuk ringgit sejak keputusan dasar oleh bank pusat terutama apbila ringgit menjadi antara unit terbaik di Asia berbanding dolar AS untuk dua hari berturut-turut (Khamis dan Jumaat minggu lepas), meskipun niaga hadapan Brent jatuh teruk di bawah paras psikologi penting AS$40 setong.

Tan turut maklum kelemahan dolar AS yang berlanjutan boleh menyaksikan mata wang ringgit-dolar menguji semula paras rendah sejak awal bulan sehingga kini iaitu paras 4.1343.

Barbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0353/0415 daripada 3.0384/0420 pada Jumaat dan meningkat berbanding euro pada 4.9135/9234 daripada 4.9281/9332.

Unit tempatan itu bagaimanapun, jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.9103/9188 daripada 3.9076/9124 pada Jumaat dan lemah berbanding pound Britain pada 5.3133/3231 daripada 5.3104/3167 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )