Ringgit dibuka rendah, RM4.319 sedolar

Ringgit dibuka rendah, RM4.319 sedolar

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini susulan permintaan lemah terhadap mata wang tempatan berikutan prospek ekonomi negara yang dijangka terjejas.

Pada 9.20 pagi, ringgit berada pada 4.3190/3280 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3050/3150 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Peniaga berkata, ekonomi terbuka seperti Malaysia terdedah kepada kelemahan luaran akibat ketidaktentuan berpunca daripada pandemik COVID-19 yang menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi global dan menghentikan majoriti aktiviti ekonomi di seluruh dunia.

“Selain itu, pemain pasaran menjangka Malaysia mengalami penguncupan ekonomi buat pertama kali dalam tempoh sedekad dengan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada antara -2 peratus dan 0.5 peratus tahun ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0484/05653 daripada 3.0461/0553 dan susut berbanding yen kepada 3.9972/4.0049 daripada 3.9696/9799 pada Jumaat lalu.

Ringgit susut berbanding pound kepada 5.3841/3970 daripada 5.3709/3851 dan turun berbanding euro kepada 4.7246/7361 daripada paras 4.7114/7236. — BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This