Ringgit dibuka terendah sejak akhir Mei

Ringgit dibuka terendah sejak akhir Mei

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka pada paras terendah dalam beberapa minggu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Ia berikutan pelabur terus menjual mata wang negara pesat membangun susulan pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menunjukkan ia mungkin menaikkan kadar faedah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.1415/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1390/1400 ketika ditutup pada Khamis.

Angka itu adalah paras terendah yang kali terakhir dicatatkan pada 31 Mei 2021 dengan ringgit dibuka pada 4.1420/1500.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata ringgit terus kehilangan asas pergerakan stabilnya berbanding dolar AS sejak laporan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) dikeluarkan pada Khamis.

“Memandangkan pasaran mempertimbangkan kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini, senario yang paling mungkin adalah pasangan dolar AS-ringgit akan terus meningkat sehingga mencapai paras 4.1750 sebagai sasaran pertama, dan 4.2200 sebagai unjuran terakhir.

“Paras itu dapat dicatatkan dalam tempoh dua hingga empat bulan,” katanya kepada Bernama.

Fed dilaporkan memberi petanda bahawa ia mungkin menaikkan kadar faedah pada 2023, setahun lebih awal berbanding jangkaan, semasa mesyuarat dua hari FOMC yang berakhir pada Khamis.

Sementara itu, ringgit dibuka tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0840/0861 berbanding 3.0918/0930 semasa ditutup pada Khamis serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7695/7730 daripada 5.7826/7840.

Ringgit stabil berbanding euro kepada 4.9313/9343 daripada 4.9465/9477 namun rendah berbanding yen kepada 3.7541/7563 daripada 3.7389/7402.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )