Ringgit dibuka tidak berubah berbanding Dolar AS
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka dengan prestasi tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan keyakinan terhadap data pekerjaan AS dan harga minyak mentah yang lebih kukuh.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.2130/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2130/2150 ketika ditutup pada Khamis.
Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata kekukuhan dolar AS didorong oleh data tuntutan pengangguran awal AS yang lebih tinggi berbanding jangkaan, iaitu 207,000 berbanding yang dijangka sebanyak 197,000 sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur dengan disokong oleh data Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP yang dikeluarkan pada Rabu.
“Data ini menunjukkan bahawa ini adalah pemulihan ekonomi yang kukuh dalam pasaran pekerjaan AS dan dijangka disahkan oleh angka Pembayaran Gaji Bukan Ladang AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, dari sudut teknikal, ringgit-dolar AS berkemungkinan menguji paras 4.24 dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, harga minyak mentah, yang memberikan sedikit sokongan kepada ringgit, meningkat pada Khamis dalam keadaan pengeluaran lebih rendah oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang hanya menambah 90,000 tong sehari dalam tinjauan bagi Disember.
Selain itu, pelabur juga bimbang mengenai pengeluaran terhad berikutan situasi darurat di Kazakhstan selaku pengeluar minyak utama, berikutan bantahan terhadap kenaikan harga bahan api.
Semasa awal dagangan hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0960/0986 daripada 3.0948/0965 ketika ditutup pada Khamis namun meningkat berbanding yen kepada 3.6335/6364 daripada 3.6390/6415.
Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.7040/7080 daripada 5.6867/6903 semalam dan tinggi berbanding euro kepada 4.7594/7628 daripada 4.7620/7646.
-BERNAMA