Ringgit dibuka tinggi

Ringgit dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Nilai mata wang ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memperlahankan tahap kenaikan kadar faedah sehingga akhir tahun.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7020/7070 berbanding dolar AS daripada penutup hari Rabu 4.7120/7165.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata selepas tujuh bulan mencatatkan kenaikan berterusan, dolar AS telah mula bergerak turun seiring dengan data Jualan Rumah Baharu AS yang jatuh sebanyak 10.9 peratus kepada 603,000 unit pada September berbanding 677,000 unit pada Ogos.

“Data ini agak tinggi sedikit daripada jangkaan (603,000 berbanding unjuran 585,000), tetapi itu tidak mencukupi untuk menyokong dolar berbanding ringgit,” katanya.

Beliau menambah terdapat kemungkinan ringgit berbanding dolar AS bakal mengukuh dalam beberapa hari akan datang sehingga ia mencecah paras 4.6290, yang mana di situ ia mungkin mendapat sokongan sementara.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4703/4761 daripada 5.4523/4575 pada penutup Rabu dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3485/3526 daripada 3.3454/3491 semalam.

Nilai ringgit juga lemah berbanding yen Jepun pada 3.2190/2226 daripada 3.2020/2052 pada penutup semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7401/7451 daripada 4.7243/7288 sebelumnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This