Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan peningkatan semalam apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dengan pasaran menjangkakan penurunan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman.

Pada pagi ini, ringgit mencatat 4.1990/2030 berbanding dolar AS daripada 4.2010/2040 sewaktu dagangan ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes menjangkakan berlaku penyusutan volum pada hari ini namun optimis ringgit mampu mencatat prestasi lebih baik minggu ini.

Ini susulan penurunan dolar AS berbanding mata wang Kumpulan Negara G-10 serta dan kejatuhan harga minyak semalaman.

Pada Januari lalu, MPC bertindak menurunkan Kadar Dasar Semalaman atau OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

“Jangkaan bagi rangsangan dasar monetari di peringkat global juga terbukti menyaksikan pemulihan dari segi sentimen risiko,” katanya.

Beliau juga menjangkakan Rizab Persekutuan AS berkemungkinan mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan pada bulan ini.

Selain itu, keadaan penularan COVID-19 di China yang lebih terkawal juga diunjur memberi sokongan kepada mata wang Asia.

“Mata wang Asia yang terjejas pada Februari sepatutnya pulih sedikit berikutan perkembangan di China berbanding negara-negara lain” kata Innes.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0211/0250 daripada 3.0236/0260 pada Isnin dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8790/8838 daripada 3.8952/8987.

Ringgit bagaimana pun rendah berbanding euro kepada 4.6739/6788 daripada 4.6539/6589 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3621/3677 daripada 5.3617/3672 sebelumnya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )