Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot dalam persekitaran pemulihan aset berisiko.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1420/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1450/1480 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran menyaksikan penurunan dalam indeks dolar AS manakala aset berisiko seperti ekuiti kembali pulih malam tadi.

“Pedagang dilihat cenderung kepada inflasi yang dijangka bersifat sementara, memberi harapan bahawa normalisasi monetari AS mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat.

“Berdasarkan situasi itu, kami menjangka mata wang tempatan akan naik berbanding dolar US antara RM4.13 dan RM4.14 hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya turun naik pasaran dijangka berterusan berikutan penggiat pasaran akan mempengaruhi sifat dinamik inflasi dan tindakan seterusnya daripada Rizab Persekutuan AS (Fed).

Sementara itu, Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS merosot sedikit selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua bulan pada 4.1500 yang dapat dilihat sebagai paras halangan semula jadi.

“Bagaimanapun, jika peningkatan melepasi 4.1500 berlaku, ini dapat menjana kenaikan mata wang AS dan boleh meningkat kepada 4,1700.

“Melihat kepada perspektif makro, pelabur akan memberikan tumpuan kepada ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell yang dijadualkan lewat hari ini.

“Sebarang petunjuk mengenai dasar monetari bank pusat AS dan kemungkinan kenaikan kadar faedah dapat terus menyokong dolar US dalam jangka pendek,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0802/0822 daripada 3.0841/0868 semasa ditutup pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7566/7584 daripada 3.7641/7671 semalam.

Unit tempatan susut berbanding pound kepada 5.7628/7655 daripada 5.7495/7537 dan rendah berbanding euro kepada 4.9323/9347 daripada 4.9321/9357 pada Isnin.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This