Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam dagangan berhati-hati berikutan berita mengenai varian Omicron.

Mata wang AS itu ditutup tidak berubah berbanding ringgit semasa ditutup semalam dalam persekitaran situasi tidak menentu dalam pasaran dan kebimbangan yang meningkat mengenai prospek ekonomi global, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2360/2385 berbanding dolar AS daripada 4.2370/2395 pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata selepas pergerakan kenaikan yang panjang bermula pada 4.1400, dolar AS kini mencecah paras halangan utama pada 4.2400 berbanding ringgit dan mula menunjukkan tanda-tanda penyusutan dalam kekuatan belian.

Beliau berkata, pergerakan merosot dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang, terutamanya jika harga dapat melepasi di bawah 4.2285.

Kemungkinan pergerakan susut itu boleh membawa harga kepada paras 4.2050 dalam tempoh beberapa hari akan datang, apabila kenaikan dolar AS berbanding ringgit dijangka bersambung semula, katanya kepada Bernama.

“Dari perspektif makro, pasaran telah mula menetapkan kenaikan 0.75 peratus dalam kadar faedah AS seawal 2022 dan ini berpotensi untuk meningkatkan lagi dolar AS.

“Jika kadar faedah meningkat, dolar AS boleh menyasarkan julat 4.4450 berbanding ringgit pada 2022,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan pasaran semasa menunjukkan situasi amat lancar.

“Terdapat sedikit kelegaan mengenai Omicron berikutan gejalanya dikatakan lebih ringan.

“Ini akan memberikan sokongan kepada ringgit tetapi ia masih tidak pasti berikutan siasatan oleh saintis masih dijalankan,” katanya.

Unit tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pada pembukaan, kecuali dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.6419/6453 daripada 5.6517/6551 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.7816/7844 daripada 4.7819/7847 semalam.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7213/7239 daripada 3.7376/7402 pada Isnin tetapi merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0972/0997 daripada 3.0968/0990.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This