Ringgit dibuka tinggi Berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka tinggi Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Rabu selepas mata wang AS itu menyusut, bertindak balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Pasaran memberi reaksi terhadap ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell yang membayangkan risiko inflasi yang lebih kukuh dan berpanjangan mungkin nyata, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2020/2065 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa 4.2025/2055.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS mula lemah walaupun Powell cenderung untuk menaikkan kadar faedah apabila beliau menjelaskan kepada Jawatankuasa Perbankan Senat, yang menunjukkan bahawa proses pengurangan boleh dipercepatkan sekiranya data ekonomi menunjukkan pemulihan yang lebih mampan.

“Pengerusi Fed, bagaimanapun mengambil sikap berhati-hati memandangkan saintis sedang mengkaji lebih lanjut mengenai varian terkini COVID-19.

“Ini bermakna, mereka mungkin menukar taktik sekiranya varian terbaharu terbukti lebih berbahaya dan mudah ditularkan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, Indeks dolar AS (DXY) menyaksikan pembetulan yang agak ketara, jatuh di bawah 96 mata, sambil menambah bahawa ringgit sepatutnya kekal disokong dengan baik, mengambil petunjuk daripada susut nilai dolar yang terbaharu.

“Pada pandangan kami, ia adalah pembetulan teknikal berikutan keadaan terlebih beli ke atas dolar AS,” tambahnya.

Mata wang tempatan juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain, kecuali dolar Singapura.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5874/5934 daripada 5.6158/6198 pada penutupan Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.7613/7664 berbanding 4.7753/7787 semalam.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun menjadi 3.7107/7150 daripada 3.7230/7260 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0784/0821 daripada 3.0743/0769 sebelumnya.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This