Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan pertama minggu ini berikutan potensi kenaikan harga minyak susulan daripada ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah.

Pada 9.05 pagi, ringgit naik kepada 4.7100/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7210 pada Jumaat lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jika terdapat impak yang ketara terhadap bekalan dan harga minyak, ringgit dijangka mencatatkan pergerakan meningkat yang ketara, mengatasi prestasi mata wang serantau dari segi perdagangan.

“Potensi kenaikan harga minyak boleh memberi sokongan kepada ringgit apabila mengambil kira konteks perbandingan silang mata wang.

“Ia boleh memberi manfaat kepada ringgit berikutan Malaysia adalah negara pengeksport minyak. Apabila harga minyak naik, hasil negara daripada eksport minyak turut meningkat, yang boleh memberi impak positif kepada mata wangnya,” katanya.

Innes juga berkata kedudukan ringgit sebahagian besarnya bergantung kepada sentimen risiko Kumpulan G10 dan daya tahan ekonomi AS, dengan tumpuan khusus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS.

“Perlu diberi perhatian bahawa inflasi teras AS dijangka susut, seperti yang ditunjukkan oleh deflator Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS, yang boleh membawa kepada dolar AS rendah pada minggu ini,” katanya.

“Oleh itu, saya menjangka kadar ringgit akan berada pada sekitar 4.70 hingga 4.73 minggu ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding euro kepada 5.1344/1442 daripada 5.1324/1379 dan rendah berbanding pound kepada 5.9864/9978 daripada 5.9822/9886 pada Jumaat lalu.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1824/1887 daripada 3.1871/1907.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5165/5237 daripada 3.5176/5216, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.3 daripada 301.9/302.4 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.44 daripada 8.43/8.44 minggu lalu.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2788/3102 daripada 13.2733/2941 sebelum ini.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This