Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar US
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan permintaan yang lebih baik terhadap unit tempatan walaupun harga minyak dunia rendah dan laporan inventori Amerika Syarikat (AS) lemah.
Pada 9.05 pagi ini, ringgit berada pada 4.2690/2770 berbanding dolar US daripada 4.2720/2800 semalam.
Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata unit tempatan turun naik dalam pasaran minyak.
Pada masa ini, minyak mentah Brent sebanyak US$40.51 setong, susut 1.63 peratus.
“Malangnya, turun naik menunjukkan penurunan apabila peniaga minyak bimbang mengenai landskap makro berikutan laporan inventori AS menunjukkan permintaan AS terus menurun,” katanya kepada Bernama.
Menurut Jabatan Perdagangan AS, inventori borong meningkat 0.3 peratus pada April 2020, manakala stok pada pemborong merosot kepada 1.1 peratus pada Mac.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan merosot berbanding euro kepada 4.8406/8501 daripada 4.8124/8227 pada Selasa dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0710/0774 daripada 3.0661/0723.
Ringgit rendah berbanding pound kepada 5.4314/4421 daripada 5.4007/412 dan susut berbanding yen kepada 3.9612/9694 daripada 3.9589/9674 sebelum ini.
— BERNAMA