Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US

KUALA LUMPUR,. Ringgit naik untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan minat belian baharu.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1420/1500 berbanding dolar US daripada 4.1490/1540 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata jumlah pembiayaan sosial China naik selaras dengan respons meningkat daripada yuan yang akan menyaksikan ringgit mengukuh hari ini.

Menurut Bank Rakyat China, jumlah pembiayaan sosial China meningkat 13.5 peratus kepada 280.07 trilion yuan (US$41.6 trilion) pada September berbanding tahun sebelumnya dan berbanding 13.3 peratus pada Ogos.

Innes berkata dorongan meningkat daripada harga minyak yang lebih tinggi selepas inventori minyak AS merosot lebih besar daripada jangkaan, dengan harga minyak mentah Brent naik 0.21 peratus kepada US$43.41 setong turut memberi ruang kepada unit tempatan.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap dolar US berbanding mata wang G10 dan kebimbangan yang meningkat mengenai COVID-19 akan terus mempengaruhi situasi dan boleh mengekang kenaikan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0498/0569 daripada 3.0564/0605 semalam, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.3933/4041 daripada 5.3667/3749.

Mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.8669/8767 daripada 4.8659/8731 dan rendah berbanding yen kepada 3.9350/9437 daripada 3.9342/9401 sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This