
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, dengan pasaran menjangka pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Pada 9.10 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1520/1560 berbanding dolar US daripada 4.1550/1600 sebelum ini.
Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata bagaimanapun, bank pusat dijangka, berdasarkan margin yang luas, akan mengekalkan kadar utamanya tidak berubah berikutan ketidaktentuan politik dan peningkatan semula kes COVID-19 yang menyelubungi pasaran modal Malaysia.
“Namun, tidak seperti kebanyakan bursa Asia, BNM mempunyai ruang dasar yang mencukupi untuk mengelak inflasi negatif.
“Pada masa sama, terdapat kelonggaran yang terhad untuk pengembangan dasar fiskal selepas rangsangan diperkenalkan pada awal tahun ini. Oleh itu, terpulang kepada BNM untuk melaksanakan langkah-langkah ke arah pemulihan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata langkah akan datang ialah Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0422/0460 daripada 3.0413/0461 semalam dan susut berbanding pound kepada 5.3669/3725 daripada 5.3629/3701.
Ringgit, bagaimanapun, mengukuh berbanding euro kepada 4.8346/8397 daripada 4.8360/8435 dan naik berbanding yen kepada 3.9633/9673 daripada 3.9639/9698.
— BERNAMA