Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US
KUALA LUMPUR,. Ringgit pulih daripada penyusutan semalam apabila dibuka tinggi sedikit berbanding dolar US dalam sesi dagangan awal hari ini, ketika data-data ekonomi Amerika Syarikat yang diumumkan pada Khamis menyebabkan beberapa pelabur beralih kepada aset lebih berisiko, kata peniaga.
Pada 9.20 pagi, ringgit disebut pada 4.0825/0855 berbanding dolar US daripada 4.0870/0910 sewaktu dagangan ditutup semalam.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata kebimbangan mengenai penularan Novel Koronavirus 2019 itu menyebabkan kebanyakan pelabur lebih berhati-hati dengan mengutamakan mata wang selamat, termasuk dolar US berbanding mata wang yang berisiko.
Sementara itu, prestasi ringgit juga bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat kepada 2.9988/3.0021 daripada 2.9999/9035 berbanding dolar Singapura dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7420/7458 daripada 3.7523/7570, semalam.
Namun ringgit susut berbanding euro kepada 4.5034/5071 daripada 4.5026/5083 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3481/3536 daripada 5.3192/3257 pada Khamis.
— BERNAMA