Ringgit dibuka tinggi, naik kepada RM4.18 berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi, naik kepada RM4.18 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1800/1850 berbanding dolar AS daripada 4.2045/2085 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia pada Selasa dijangka menyokong ringgit memandangkan semakan semula itu akan mendorong permintaan secara mendadak terhadap pelbagai sektor bernilai tinggi.

“Ringgit dijangka diniagakan positif hari ini, yang sewajarnya menyaksikan aliran bon, pasca kadar Bank Negara itu, ke dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan menurunkan julat kadar asas sebanyak 0.5 mata peratusan kepada 1 hingga 1.25 peratus.

Di samping itu, bank pusat utama lain di seluruh dunia turut dijangka mengurangkan kadar faedah tidak lama lagi atau mengambil langkah lain untuk melindungi ekonomi global daripada kesan COVID-19.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0161/0208 daripada 3.0194/0233 pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8898/8956 daripada 3.8934/8982.

Ringgit stabil berbanding pound Britain kepada 5.3625/3694 daripada 5.3725/3793 yang dicatatkan semalam dan tinggi berbanding euro kepada 4.6686/6759 daripada 4.6775/6836. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )