Ringgit dibuka tinggi pada pagi

Ringgit dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan pengukuhan minggu lepas untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh peningkatan harga minyak mentah.

Minggu lepas, mata wang tempatan berada pada kedudukan yang amat kukuh berbanding dolar AS sejak Januari, bergerak di bawah paras 4.10 iaitu tahap psikologi penting untuk menjadi antara yang terbaik di Asia berbanding dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0850/0930 berbanding dolar AS daripada 4.0900/0940 ketika ditutup petang Jumaat minggu lepas.

Ketua Strategi Pemasaran Global Axi Stephen Innes berkata, pagi ini merupakan permulaan minggu urus niaga yang agak baik untuk ringgit, dipacu oleh harga minyak mentah yang meningkat lima peratus minggu lepas.

“Minyak telah menunjukkan prestasi yang amat baik meskipun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya gelombang baharu sekatan pergerakan ketika kerajaan Barat berusaha mengekang kesan peningkatan penularan koronavirus,” kata beliau kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau turut maklum sentimen ke atas harga minyak mentah akan terus disokong oleh berita baharu mengenai keberkesanan vaksim koronovirus yang sedang dimajukan.

Selain itu, sentimen turut dirancakkan lagi dengan harapan positif daripada mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) yang akan berlangsung pada akhir bulan ini.

“Mesyuarat itu akan menyaksikan kumpulan itu mungkin melanjutkan pengurangan semasa tiga hingga enam bulan, seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama OPEC awal minggu ini,” kata beliau.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan tinggi sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0426/0497 daripada 3.0434/ 0479 Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.9358/9443 daripada 3.9399/9445 sebelumnya.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8497/8596 daripada 4.8495/8559 pada Jumaat dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.4363/4478 daripada 5.4295/4360.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This