Ringgit dijangka didagangkan dengan kecenderungan meningkat berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka didagangkan dengan kecenderungan meningkat berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR,. Ringgit dijangka diniagakan dalam kecenderungan meningkat antara RM4.19 dan RM4.20 minggu depan, di tengah-tengah selera risiko yang lebih baik, serta prospek dan data ekonomi domestik yang positif, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit telah meraih sedikit kekuatan pada Jumaat meskipun ketidaktentuan terhadap konfik di Ukraine berikutan data ekonomi domestik menyatakan kadar inflasi adalah masih terkawal.

Indeks harga pengguna bagi Februari meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 2.2 peratus berbanding 2.3 peratus pada bulan sebelumnya, selain lebih rendah berbanding anggaran konsensus sebanyak 2.4 peratus.

Dalam perkembangan lain, aliran masuk bersih asing di ruang pasaran ekuiti adalah agak menggalakkan dengan jumlah belian bersih melebihi RM6 bilion sejak awal tahun sehingga kini, berbanding jualan bersih RM3.1 bilion untuk sepanjang 2021.

“Ini bererti, ringgit akan disokong dengan baik jika aliran sedemikian kekal berterusan pada sepanjang tahun.

“Pembukaan semula ekonomi yang seterusnya akan turut diterjemahkan kepada aktiviti perniagaan yang lebih dinamik dan, oleh itu, pendapatan syarikat. Ini boleh menggalakkan dana asing untuk menjadi lebih konstruktif di bursa kita dengan penilaian yang menarik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dari sudut teknikal, ringgit berbanding dolar AS telah berada dalam kelompok terlebih jualan, menandakan ringgit dijangka meningkat dalam masa terdekat, katanya.

“Dengan paras rintangan dan paras sokongan semasa masing-masing dikesan pada RM4.2104 dan RM4.1870, minggu depan, kita akan berupaya meraih sedikit kenaikan pada sekitar RM4.19 hingga RM4.20,” katanya.

Berasaskan mingguan, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS kepada 4.2080/2110 daripada 4.1930/1975 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain berasaskan perbandingan Jumaat ke Jumaat.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.4608/4633 daripada 3.5259/5300 dan menokok berbanding euro kepada 4.6305/6338 daripada 4.6370/6420.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.5394/5434 daripada 5.5100/5159 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1021/1045 daripada 3.0924/0960 pada minggu terdahulu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )