Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan

KUALA LUMPUR,. Ringgit dijangka mengalami dagangan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, berikutan pelabur menunggu mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia yang akan diadakan pada Khamis, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata memandangkan pelabur menunggu petunjuk kewangan daripada mesyuarat berkenaan, mata wang tempatan diunjurkan diniagakan di antara RM4.15 dengan RM4.16 berbanding dolar AS.

“Selain itu, Rizab Persekutuan AS (Fed) pula mungkin mengumumkan pengurangan pembelian aset pada November dan memulakan proses berkenaan sebulan kemudian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jarak masa untuk menaikkan kadar dana Fed akan mengambil masa yang lebih panjang seperti yang dimaklumkan Pengerusi Fed, Jerome Powell.

Adam berkata justeru, ia mungkin agak mengehadkan pengukuhan dolar AS, sekali gus sesuatu yang baik bagi ringgit.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, unit tempatan diniagakan bercampur-campur sepanjang minggu disebabkan kebimbangan mengenai langkah pengurangan oleh Fed dan kes COVID-19 harian baharu di Malaysia selain sikap berhati-hati sebelum data pembayaran gaji bukan ladang AS dikeluarkan.

Jumlah kes COVID-19 baharu yang dicatatkan di Malaysia susut kepada 19,378 pada Jumaat daripada 20,988 pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,805,382.

Berasaskan mingguan, ringgit meningkat kepada 4.1445/1475 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1890/1930 pada Jumaat minggu lepas.

Unit tempatan juga diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan wang utama lain daripada minggu lepas.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0876/0903 daripada 3.1009/1041 Jumaat minggu lepas, dan naik berbanding pound Britain kepada 5.7352/7393 daripada 5.7427/748.

Mata wang tempatan turut tinggi berbanding dengan euro kepada 4.9195/9231 daripada 4.9254/9301 serta stabil berbanding yen kepada 3.7705/7735 daripada 3.8044/8084 pada Jumaat minggu lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This