Ringgit diniagakan rendah pagi ini

Ringgit diniagakan rendah pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu urus niaga dibuka pada Jumaat, mencecah paras terendah 4.73 berikutan kekurangan pemangkin serta ketidaktentuan pasaran di peringkat global, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu susut 75 mata asas kepada 4.7345/7360 berbanding 4.7270/7290 pada akhir sesi semalam.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pengukuhan dolar AS itu didorong oleh data tuntutan pengangguran awal yang mencatatkan bacaan lebih rendah berbanding jangkaan (214,000 berbanding unjuran 230,000).

“Oleh kerana pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menyasarkan untuk terus mengawal inflasi dan mengekalkan kadar pengangguran rendah, petunjuk daripada tuntutan itu memberi isyarat bahawa pasaran pekerjaan adalah terkawal di AS.

“Ini berkemungkinan menyebabkan Fed akan terus menaikkan kadar faedah dalam jangka pendek hingga pertengahan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, ini disokong pula dengan data jualan rumah sedia ada AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, juga menunjukkan bahawa pasaran kediamannya juga kukuh.

“Kedua-dua data menunjukkan senario ekonomi AS yang berpotensi positif dan hanya membuka ruang kepada lebih banyak campur tangan oleh Fed untuk membendung inflasi yang mencecah kadar terpantas dalam tempoh 40 tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang terus menyusut, sebaliknya yen Jepun juga di paras terendah sejak 1990 pada Khamis manakala pound Britain juga jatuh selepas Perdana Menteri Lizz Truss mengumumkan peletakan jawatannya, semalam.

Dalam pada itu, ringgit juga susut berbanding mata wang lain.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.6261/6275 daripada 4.6244/6264 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3055/3072 daripada 5.2971/29935 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3215/3230 daripada 3.3172/3188 sebelum ini.

Ia bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1530/1542 daripada 3.1547/1565.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This