Ringgit diniagakan rendah sedikit pada pagi ini

Ringgit diniagakan rendah sedikit pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini dengan para pelabur masih menantikan keputusan kadar faedah oleh bank pusat utama minggu ini, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6890/6940 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.6870/6915.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran akan memantau mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat bermula hari ini untuk mendapatkan hala tuju persekitaran makroekonomi.

“Bank of England juga akan mengadakan mesyuarat dasar monetarinya pada 21 Sept dan dijangka mengumumkan kenaikan 25 mata asas lagi, menjadikan kadar bank kepada 5.50 peratus.

“Bank of Japan pula akan bermesyuarat pada 22 Sept dengan tiada perubahan dijangka dalam pendirian dasar mereka,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniaga kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi awal.

Ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1755/1791 daripada 3.1750/1783 pada penutup Isnin dan turun berbanding euro pada 5.0116/0169 daripada 5.0020/0068 semalam, tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8059/8121 daripada 5.8128/8184 sebelumnya.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniaga rendah berbanding mata wang Asean yang lain.

Nilai ringgit lemah berbanding dolar Singapura pada 3.4387/4429 daripada 3.4347/4383 pada penutup semalam dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.29 daripada 8.24/8.25 sebelumnya.

Mata wang turut menguncup nilainya berbanding rupiah Indonesia kepada 305.0/305.5 daripada 304.8/305.3 pada dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.1407/1595 daripada 13.1156/1337 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This