Ringgit dinigakan rendah pada pagi ini

Ringgit dinigakan rendah pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini menjelang pengumuman kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Rabu.

Memandangkan Rizab Persekutuan AS dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi, pelabur menantikan kenyataan yang disertakan untuk mengukur prospek masa hadapan bagi kadar faedah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5705/5740 berbanding dolar AS daripada 4.5640/5690 pada penutup hari Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan kadar yang dijangkakan akan memberi kelebihan kepada dolar AS kerana perbezaan antara Kadar Dana Persekutuan dan kadar dasar semalaman (OPR) diunjur untuk terus melebar, sekali gus menjadikan aset AS lebih menarik.

“Bagaimanapun, bacaan indeks pengurus pembelian (PMI) terkini untuk pelbagai bidang kuasa adalah lebih rendah khususnya untuk sektor pembuatan AS, menunjukkan pengilang semakin berhati-hati tentang prospek perniagaan mereka,” katanya.

Di pasaran tempatan, Mohd Afzanizam berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengekalkan OPR stabil pada 3.00 peratus sepanjang tahun kerana kadar faedah sebenar telah bertukar positif untuk bulan kedua berturut-turut kepada 0.6 peratus.

“Bacaan indeks harga pengguna (IHP) terkini untuk Malaysia turun kepada 2.4 peratus pada Jun, menunjukkan bahawa dasar monetari tidak terlalu akomodatif,” katanya.

Beliau menjangkakan ringgit akan bergerak dalam julat antara 4.56 dan 4.57 berbanding dolar AS hari ini.

Sementara itu, unit tempatan didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0586/0625 daripada 5.0578/0634 pada penutup Isnin, bergerak hampir mendatar berbanding pound Britain kepada 5.8576/8620 daripada 5.8556/8620 dan sedikit berubah berbanding yen Jepun kepada 3.2305/2334 daripada 3.2307/2345 sebelumnya.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit merosot berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.35/8.37 semalam, lebih rendah berbanding rupiah Indonesia pada 304.1/304.5 daripada 303.6/304.2, susut berbanding dolar Singapura menjadi 3.4316/4347 daripada 3.4287/4328, tetapi menambah nilai berbanding baht Thai kepada 13.2363/2522 daripada 13.2417/2623 pada Isnin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This