Ringgit lemah berbanding dolar AS

Ringgit lemah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Urus niaga ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini kerana kekurangan permintaan untuk unit tempatan.

Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding mata wang lain.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0990/1030 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0930 ketika ditutup pada urus niaga petang Jumaat.

Ketua Strategik Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata mata wang Asia termasuk ringgit akan dipengaruhi oleh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China yang lemah.

Secara keseluruhan, mata wang Asia dijangkakan bergerak lesu berikutan hari cuti umum bank di UK.

“Namun begitu, kadar hasil AS yang dijangka lebih tinggi akan menjadi penghalang utama kepada sentimen kerancakan ringgit terutama menjelang data gaji bukan ladang (NFP) AS minggu ini,” kata beliau.

Innes seterusnya mengunjurkan ringgit diniagakan antara 4.09-4.11 untuk satu dolar AS minggu ini.

Sementara itu, berbanding dolar Singapura, unit tempatan jatuh kepada 3.0822/0864 daripada 3.0785/0839 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.

Berbanding euro pula, ringgit meningkat kepada 4.9323/9388 daripada 4.9428/9509, lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6697/6769 daripada 5.6834/6930 dan mengukuh berbanding yen Jepun pada 3.7485/7532 daripada 3.7520/7581 sebelumnya.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )