Ringgit melonjak kembali pada pagi ini

Ringgit melonjak kembali pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ringgit meningkat semula untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat apabila mata wang negara maju itu susut berikutan data yang tidak dijangkakan, kata ahli ekonomi.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6030/6100 berbanding dolar AS daripada 4.6185/6235 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tuntutan pengangguran awal AS meningkat kepada 261,000 minggu lalu, lebih tinggi daripada anggaran konsensus sebanyak 235,000, yang menyebabkan penurunan nilai dolar AS.

“Data terkini juga menunjukkan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS pada minggu depan mungkin menghentikan kitaran kenaikan kadar buat sementara.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit meningkat sedikit hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3103/3156 daripada 3.3041/3079 ketika ditutup pada Khamis serta susut berbanding euro kepada 4.9630/9705 daripada 4.9557/9610.

Ringgit juga lemah berbanding pound British kepada 5.7786/7874 daripada 5.7537/7600.

Walau bagaimanapun, mata wang tempatan didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4271/4326 daripada 3.4290/4332 semasa ditutup pada Khamis serta lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 308.9/309.6 daripada 310.0/310.5.

Unit tempatan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.22/8.24 daripada 8.23/8.24 sebelumnya namun rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2992/3245 daripada 13.2647/2848 semalam.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This