Ringgit rendah berbanding Dolar AS

Ringgit rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat selepas unit mata wang negara maju itu mengukuh susulan peningkatan hasil Perbendaharaannya, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.5520/5555 berbanding dolar AS daripada 4.5400/5465 akhir dagangan Khamis.

“Dolar AS mengukuh berikutan tuntutan pengangguran AS yang lebih rendah daripada jangkaan dan mendorong kenaikan hasil negara itu, sekali gus meningkatkan peluang bagi pihak Rizab Persekutuan AS melaksanakan kenaikan kadar faedah selepas Julai.

“Pasaran juga menjangkakan pertumbuhan lebih rendah di China yang hanya menjejaskan yuan dan mengheret turun ringgit berikutan kaitan rapat antara dua mata wang itu,” kata Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes kepada Bernama.

Selain itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Unit tempatan itu naik berbanding euro kepada 5.0696/0735 daripada 5.0902/0975; meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8612/8657 daripada 5.8630/8714 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2519/2546 daripada 3.2540/2589.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit turun sedikit berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.35 daripada 8.32/8.34 namun meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4311/4342 daripada 3.4324/4378.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2847/3019 daripada 13.3525/3780 tetapi susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.7/304.1 daripada 302.9/303.5 pada Khamis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This