Ringgit rendah berbanding dolar AS pada pagi

Ringgit rendah berbanding dolar AS pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit merosot berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini, dengan kebanyakan para peniaga menantikan keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan Bank of England (BoE) untuk memutuskan tindakan mereka yang seterusnya.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu turun 135 mata asas kepada 4.1835/1885 daripada 4.1700/1730 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lalu.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan akan diberikan kepada program pembelian aset oleh Persekutuan AS untuk melihat sama ada Persekutuan AS akan mengumumkan rancangan mengurangkan saiz pembelian bulanannya yang pada masa ini berjumlah AS$120 bilion.

“Selain itu, pasaran akan turut memantau unjuran ekonomi terkini Persekutuan AS untuk memastikan sama ada terdapat sebarang peningkatan dalam penilaian berbanding bulan Jun,” katanya.

Beliau menambah pada mesyuarat bulan Jun, Persekutuan AS telah menyemak secara menaik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS daripada 6.5 peratus kepada tujuh peratus untuk tahun 2021.

“Pada masa sama, Persekutuan AS turut menaikkan unjuran inflasi daripada 2.4 peratus kepada 3.4 peratus,” katanya.

Justeru, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan lebih kepada pergerakan lemah hari ini.

Berbanding kumpulan mata wang utama yang lain, ringgit dibuka kebanyakan tinggi kecuali berbanding yen Jepun yang menyaksikan unit tempatan susut kepada 3.8025/8074 daripada 3.7913/7943 pada penutupan Jumaat.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7419/7487 daripada 5.7483/7525 minggu lepas, lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0982/1021 daripada 3.0985/1010 dan meningkat kepada 4.9043/9102 berbanding euro daripada 4.9135/9170 sebelumnya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This