Ringgit rendah pada sesi pagi
KUALA LUMPUR,. Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi awal urus niaga Selasa, seiring dengan ketidaktentuan sentimen global di tengah-tengah risiko kemelesetan di AS dan krisis tenaga di Eropah.
Pada 10.22 pagi ini, ringgit susut ke paras 4.4555/4580 berbanding dolar AS daripada 4.4520/4550 pada akhir urus niaga semalam.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen lemah itu dijangka menguasai dagangan minggu ini terutamanya dengan tiadanya sebarang petunjuk baharu Rizab Persekutuan AS (Fed).
“Fed tidak akan memberi sebarang petanda yang akan mempengaruhi urus niaga mata wang. Selain itu, peningkat kes COVID-19 di Asia juga menjadi satu kebimbangan. Ini terutamanya di China memandangkan dasar COVID-19 negara itu yang tidak jelas dan boleh menjejaskan mata wang negara lain yang ada kaitan dengannya termasuk ringgit,” katanya.
Menurut Innes, faktor lain seperti mesyuarat Bank Pusat Eropah dan krisis tenaga Eropah juga akan terus menjejaskan selera risiko para pelabur.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1882/1904 daripada 3.1884/1908 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3190/3220 daripada 5.3326/3362, sebelum ini.
Ringgit juga meningkat berbanding euro kepada 4.5130/5155 daripada 4.5223/5254 pada Isnin dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2226/2246 daripada 3.2203/222.
– BERNAMA