Ringgit teruskan penyusutan di awal dagangan

Ringgit teruskan penyusutan di awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dagangan dibuka hari ini.

Ini berikutan tindakan lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat akibat kebimbangan membabitkan penularan COVID-19, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.3530/3630 berbanding dolar AS daripada 4.3480/3530 sewaktu ditutup semalam.

Menurut peniaga, kebanyakan negara termasuk Malaysia telah bertindak mengurangkan impak ekonomi COVID-19 dengan memperkenalkan langkah-langkah rangsangan ekonomi dan pakej bantuan yang bertujuan meringankan beban rakyat serta perniagaan akibat virus itu.

Rizab Persekutuan AS telah mengumumkan penurunan 100 mata asas kadar faedah kecemasan kepada paras sifar hingga 0.25 peratus untuk meredakan ekonomi terbesar dunia itu.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0481/0568 daripada 3.0482/0528 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0535/0635 daripada 4.0792/0850 semalam.

Ringgit turut mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2719/2858 daripada 5.2911/1985 dan naik berbanding euro kepada 4.7844/7967 daripada 4.8228/8297. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This