RM300 Bantuan Musim Tengkujuh mula dibayar kepada lebih 200,000 pekebun kecil Risda hari ini

RM300 Bantuan Musim Tengkujuh mula dibayar kepada lebih 200,000 pekebun kecil Risda hari ini

KUALA LUMPUR,. Bayaran pertama Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2020 sebanyak RM300 akan mula dimasukkan ke dalam akaun 202,717 pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), mulia hari ini.

Pengerusi Risda Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata kadar bantuan untuk keseluruhan 237,207 orang itu adalah RM600 seorang dan baki RM300 akan dikreditkan ke dalam akaun penerima, pada Januari depan.

“Hari ini, setiap 202,717 orang iaitu 85 peratus daripada pekebun kecil yang memohon BMT 2020 akan menerima bayaran RM300. Baki permohonan iaitu bagi 34,490 orang akan disalurkan kepada mereka minggu depan untuk peringkat pertama (RM300), ” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata BMT 2020 itu layak diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan tanah tidak melebihi 2.5 hektar.

“Bagi pekebun kecil yang masih belum atau dalam proses permohonan, Risda masih membuka peluang untuk permohonan sehingga 31 Dis 2020,” katanya.

Mohd Salim berkata penerima terbanyak adalah dari Sarawak sebanyak 58,048 orang, diikuti Kelantan (49,328 orang) dan Kedah (45,297 orang).

Di samping itu, beliau juga telah meminta pegawai-pegawai Risda di peringkat daerah supaya memantau semua pekebun kecil dan penoreh getah yang layak untuk mendapatkan bantuan itu supaya tiada keciciran berlaku.

“Penyaluran BMT 2020 ini merupakan salah satu usaha dan keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan beban pekebun kecil yang menghadapi penurunan aktiviti akibat musim tengkujuh.

“BMT juga telah memberi manfaat kepada ribuan pekebun kecil serta penoreh getah dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah yang sangat terkesan apabila mereka hilang punca pendapatan akibat musim tengkujuh yang sedang melanda kini,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )