RM7.5 juta bagi projek pertanian, agromakanan di Sabah – LPP

RM7.5 juta bagi projek pertanian, agromakanan di Sabah – LPP

KOTA KINABALU,. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperuntukan RM7.5 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pertanian dan agromakanan di Sabah dalam usaha memulihkan sumber ekonomi para petani dan peladang yang terjejas di negeri itu berikutan penularan COVID-19.

Timbalan Ketua Pengarah LPP, Norlizah Mohamad, berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM70 juta diperuntukkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi bagi melaksanakan program-program terbabit termasuk menaik taraf jentera serta meningkatkan mobilisasi dan logistik bahan makanan.

Daripada jumlah itu, Norlizah berkata, sebanyak RM330,000 diperuntukkan bagi menaik taraf jentera pertanian sedia ada terutama untuk perusahaan sawah padi bagi memastikan ia lebih efisien.

Katanya, RM4.745 juta pula diperuntukkan bagi dana khas projek agromakanan yang dijangka seramai 261 petani selaku pelaksana projek akan menerima manfaat secara langsung menerusi peruntukan itu.

“Selain itu, LPP juga ada peruntukan bagi B40 iaitu mereka yang berpendapatan di bawah RM4,300. Bagi Sabah, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan untuk 100 orang (petani dan peladang) bagi melaksanakan projek tanaman kontan,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Pengarah LPP Sabah, Anita Misuari, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Norlizah berkata, LPP menjangkakan projek tanaman kontan dilaksanakan golongan B40 itu akan dapat meningkatkan pendapatan mereka pada kadar lebih kurang RM1,000 hingga RM1,200 seorang.

“Kami akan membincangkan hala tuju pelaksanaan projek dan memberi panduan supaya peladang benar-benar dapat manfaat peruntukan diberikan kerajaan bagi menangani masalah kekurangan pendapatan dan beban ditanggung berikutan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Norlizah, berkata LPP turut menyediakan peruntukan RM996,500 bagi program peningkatan mobilisasi dan logistik bahan makanan di Sabah merangkumi usaha meningkatkan kapasiti pusat pengumpulan hasil supaya produk para petani dan peladang dapat dijual di pasaran.

Beliau berharap golongan petani dan peladang di Sabah yang menerima manfaat peruntukan itu dapat melaksanakan projek pertanian dan agromakanan jangka pendek terbabit secara berterusan dan bersungguh-sungguh bagi memastikan pulangan pendapatan lumayan berterusan.

“Kita juga berharap projek ini dirancang dan dilaksanakan dengan baik berdasarkan panduan serta khidmat nasihat daripada semua agensi termasuk LPP,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This