
Roman bersama 1,300 ahli PKR Api-Api keluar parti, sertai PCS
KOTA KINABALU,. Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Api-Api menerima tamparan hebat apabila Timbalan Pengerusi PKR kawasan terbabit Roman Lo bersama 1,300 ahli keluar parti untuk menyertai Parti Cinta Sabah (PCS).
Dalam satu kenyataan di sini semalam, Roman menjelaskan pihaknya kini telah hilang keyakinan terhadap pimpinan Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew sebagai alasan utama meninggalkan parti itu yang disertai beliau sejak 2008.
Roman yang sebelum ini adalah Pengarah Eksekutif The Society of Hope Kota Kinabalu (TSOHKK) iaitu satu badan atau cabang amal kepada PKR Sabah juga mendakwa bahawa segala sumbangan beliau terhadap parti tidak dihargai khususnya program-program yang dilaksanakan menerusi badan amal berkenaan selama ini.
Beliau baru baru ini telah menyertai PCS dengan menyerahkan borang keahlian kepada pengasas parti berkenaan yang juga Timbalan Presiden PCS Datuk Seri Wilfred Bumburing.
Roman turut mendakwa bahawa seramai 1,300 ahli PKR Api-Api akan mengikuti jejaknya untuk menyertai PCS.
“Saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Anifah Aman sebagai Presiden PCS, Bumburing dan Datuk Pang Yuk Ming sebagai Timbalan Presiden. Kami mampu membawa perjuangan politik kami untuk masa depan Sabah yang lebih cerah.
“Saya akan menggunakan pengalaman saya selama ini untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik melalui PCS,” katanya.
Roman, 61, yang juga ahli perniagaan turut mendedahkan bahawa penyokongnya sudah membentuk satu jawatankuasa pro-tem untuk PCS Bahagian Parlimen Kota Kinabalu seterusnya bersiap siaga berhadapan dengan pilihan raya pada masa hadapan.