Ronaldo turut buru gelaran ‘Capocannoniere’

Ronaldo turut buru gelaran ‘Capocannoniere’

MILAN,. Cristiano Ronaldo menyasarkan lebih banyak rekod ketika Juventus akan ke Udinese awal pagi esok waktu Malaysia dengan gelaran kesembilan berturut-turut Serie A hampir dalam genggaman.

Ronaldo meledak dua gol Isnin lalu berdepan Lazio untuk mencatat 51 gol Serie A sejak tiba di Turin pada Julai 2018.

Pemain berusia 35 tahun itu bukan hanya menjadi pemain pertama merekodkan 50 jaringan di Itali, Sepanyol dan England, malah terpantas dengan melakukannya dalam 61 perlawanan liga.

Tahun lalu pemenang lima kali Ballon d’Or itu mencatat 21 gol dalam musim pertama di Itali dan dua gol berdepan Lazio memberikannya 30 gol musim ini berbaki empat perlawanan.

Satu lagi gol akan menyaksikannya menyamai catatan bekas pemenang Piala Dunia Itali, Felice Borel, yang menjadi pemain terakhir meledak 31 gol buat Juventus pada musim 1933-34.

Bagi Ronaldo, gelaran penjaring terbanyak – ‘Capocannoniere’ – masih boleh dicapai kerana dia kini sama jaringan 30 gol dengan pemain Lazio, Ciro Immobile.

Dan dia boleh mengatasi pemain Bayern Munich, Robert Lewandowski, penjaring terbanyak Eropah dengan 34 gol dalam Bundesliga musim ini.

Juga ada rekod milik rakan sepasukan dari Argentina, Gonzalo Higuain, yang juga penjaring terbanyak Serie A di bawah kendalian Sarri di Napoli pada musim 2015-16 dengan 36 gol.

– AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This