Rossi disahkan positif COVID-19, terlepas GP Aragon

KUALA LUMPUR,. Juara dunia tujuh kali kelas MotoGP Valentino Rossi diuji positif COVID-19 dan akan terlepas untuk beraksi dalam GP Aragon di Sepanyol hujung minggu ini.

Pelumba Yamaha itu yang baru-baru ini mengesahkan perpindahannya ke Petronas Yamaha Sepang Racing Team untuk musim seterusnya, disahkan positif dalam ujian ‘polymerase chain reaction’ (PCR) kedua pada Khamis.

Diberi jolokan ‘the Doctor’, pelumba berusia 41 tahun dari Itali itu juga berkemungkinan tidak dapat beraksi dalam Aragon Motorland pada 25 Okt ini, menurut MotoGP dalam kenyataan.

Sementara itu, Rossi mengesahkan keputusan ujian itu kepada peminatnya menerusi media sosial.

“Malangnya, pagi (Khamis) ini saya bangun dan berasa tidak sihat… Tulang saya berasa sakit dan sedikit demam, jadi saya segera menghubungi doktor yang melakukan dua ujian ke atas saya. Keputusan ujian PCR adalah negatif, sama seperti ujian yang dilakukan pada Selasa.

“Tetapi, ujian kedua yang dihantar pada 4 petang ini adalah positif. Saya kecewa kerana akan terlepas perlumbaan di Aragon. Saya mahu bersikap optimistik dan yakin, tetapi saya jangka pusingan kedua di Aragon juga harus saya lupakan.

“Saya sedih dan marah kerana telah melakukan yang terbaik untuk menghormati protokol dan walaupun ujian pada Selasa adalah negatif, saya mengasingkan diri sejak tiba dari le Mans… Apa pun, saya tidak dapat lakukan apa-apa untuk mengubah keadaan. Saya akan mengikuti nasihat perubatan dan berharap cepat sembuh,” katanya.

Monster Energy Yamaha MotoGP dan Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing Lin Jarvis dalam kenyataan berasingan berkata Rossi tidak ada kontak dengan mana-mana individu yang kini berada di GP Aragon.

“Pertamanya, kami berharap Rossi tidak akan mengalami kesakitan yang teruk dalam beberapa hari ini dan sembuh sepenuhnya secepat mungkin. Ini tamparan kedua buat operasi MotoGP kami dengan ketiadaan ketua projek Sumi-san dan lima jurutera YMC pada perlumbaan Le Mans selepas seorang ahli disahkan positif.

“Kedua-dua insiden ini mengingatkan kita bahawa walaupun kita berhati-hati, risiko itu tetap ada – apabila kes jangkitan di Eropah semaking meningkat masa ini. Kami telah memeriksa dengan pihak berkuasa kesihatan Itali dan kami dinasihatkan jika ada ahli pasukan yang ada kontak kepada Rossi sehingga Isnin, adalah terkecuali daripada risiko langsung.

“Bagaimanapun, kami akan beri perhatian yang lebih sekarang untuk meminimumkan peluang (dijangkiti) pada masa akan datang,” kata Jarvis.

Berikut adalah kronologi peristiwa yang disediakan oleh Monster Energy Yamaha MotoGP:

– Pada Ahad (11 Okt) Rossi meninggalkan litar Le Mans dan pulang ke rumahnya di Tavullia, Itali.

– Pada Selasa (13 Okt) Rossi menjalani ujian PCR yang diwajibkan ke atas pelumba yang pulang ke rumah antara perlumbaan. Keputusan diperoleh keesokannya dan ia adalah negatif.

– Pada Rabu (14 Okt) Rossi merasa sihat sepenuhnya dan berlatih di rumah tanpa sebarang gejala atau ketidakselesaan.

– Pada Khamis (15 Okt) beliau bangun pagi dan merasa sedikit sakit. Beliau mengalami sedikit demam dan menghubungi doktor dengan segera. Doktor melakukan dua ujian:

1. Ujian pantas PCR yang kembali dengan keputusan negatif

2. Ujian standard PCR, yang keputusannya diperoleh pada Khamis (15 Okt) pukul 4 waktu tempatan. Malangnya, keputusan itu positif.

– Semasa tempoh Rossi duduk di rumah dari Ahad (11 Okt) hingga hari ini (15 Okt), beliau tidak ada kontak dengan mana-mana individu yang kini berada di GP Aragon, termasuk pelumba VR46 Academy, kakitangan VR46, ahli pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP dan lain-lain.

– Keadaan Rossi akan dipantau oleh kakitangan perubatan di Tavullia.

– Situasi akan diteliti setiap hari berkenaan penyertaan Rossi dalam acara perlumbaan MotoGP akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )