RRIMINIS dibina hasil kajian menyeluruh, manfaat kepada pekebun kecil – Ahmad

RRIMINIS dibina hasil kajian menyeluruh, manfaat kepada pekebun kecil – Ahmad

MELAKA,. Projek Rubber Research Institute Malaysia Mini Station (RRIMINIS) Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Jasin dibina hasil daripada kajian menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai manfaat untuk pekebun kecil dan industri getah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan l Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata projek berkeluasan 58.5 hektar yang diluluskan LGM pada 2010 itu turut mengambil kira impak kewangan terhadap kerajaan dan bukan dibina atas kepentingan politik semata-mata.

“Fakta penting mengenai Jasin ialah daerah ini mempunyai keluasan tanaman getah yang tertinggi di Melaka iaitu meliputi lebih 48 peratus keluasan tanaman getah daripada jumlah keseluruhan dan bilangan pekebun kecil juga tertinggi berbanding kawasan lain di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembinaan RRIMINIS yang kini siap lebih 73 peratus di Jasin juga akan dijadikan ibu pejabat LGM Negeri Melaka bagi menggantikan pejabat semasa iaitu di lot rumah persendirian di kawasan perumahan di Bukit Baru, di sini.

“Atas rundingan dengan Kerajaan Negeri, tapak projek itu telah dibeli pada 2012 dengan harga lebih rendah iaitu RM13 juta dan kini tapaknya dianggarkan bernilai lebih RM38 juta iaitu 65 peratus kenaikan mengikut penilaian akhir 2019 dan merupakan pelaburan baik bagi LGM.

“LGM menetapkan harga siling bagi pembangunan fiskal projek itu sebanyak RM30 juta, dan nilai ini tidak berubah sehingga tahun ini dengan projek diambil alih oleh kontraktor lantikan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang baharu.

“Sehubungan itu, dakwaan bahawa kos projek itu meningkat adalah tidak berasas,” katanya.

Menurut beliau, walaupun berdepan dengan pelbagai masalah, LGM masih dapat mengekalkan harga siling projek pembangunan tersebut pada RM30 juta dan tidak terdapat peningkatan sebanyak RM10 juta hingga RM20 juta seperti yang didakwa sebelum ini.

Beliau berkata projek yang bermula pada 2014 dan dijangka siap pada 2016 terpaksa dihentikan pada November 2016 disebabkan masalah kontraktor, namun sekali lagi kerja-kerja oleh kontraktor baharu dihentikan atas arahan kerajaan pada Mei 2018.

“Projek sekali lagi terpaksa dihentikan dan proses pemilihan kontraktor telah dilakukan semula dan akhirnya dilantik pada Februari tahun ini.

“Ringkasnya, masalah utama bagi kelewatan projek ini adalah disebabkan isu pelantikan kontraktor penyambung atau penyelamat dan proses sebut harga yang panjang bagi pelantikan kontraktor,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This