Rumah mampu milik: Fadillah cari jalan bagaimana agensi pusat boleh bantu Sarawak
SIBU,. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mencari jalan bagaimana agensi Persekutuan yang berkaitan dapat membantu meringankan bebanan kerajaan Sarawak dalam menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda.
Beliau berkata penyediaan rumah mampu milik merupakan satu cabaran yang besar di Sarawak berikutan kebanyakan kawasan adalah bertanah paya gambut seperti di Bahagian Sibu.
“Sudah pasti kosnya adalah mahal. Oleh itu kita kena mencari kaedah bagaimana kita hendak menyediakan ruang dan peluang supaya generasi muda ini akan mampu memiliki rumah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pasar Sentral Sibu pada Sabtu.
Menurutnya perkara tersebut telah disuarakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka kepada beliau berikutan kesukaran generasi muda di Sibu mendapatkan rumah mampu milik.
Fadillah yang tiba di Sibu untuk lawatan rasmi yang pertama ke Sarawak sebagai Timbalan Perdana Menteri semalam memberitahu soal peluang dari segi perniagaan untuk memperluaskan ekonomi turut disampaikan kepadanya semasa berinteraksi dengan masyarakat di Sibu.
–BERNAMA