Rumah pelangi tarikan baharu di pesisir sungai Kelantan
KOTA BHARU,. Dalam usaha mewujudkan persekitaran yang cantik dan ceria, beberapa rumah penduduk di Kampung Sungai Budor dicat dengan warna pelangi.
Jika dahulu kawasan penempatan itu agak suram dengan barisan rumah usang, tetapi melalui idea kreatif ini, kawasan penempatan itu kini berubah wajah.
Transformasi yang dilakukan pada Mac tahun lalu bermula dengan menukar atap yang rosak selain papan dinding sehinggalah proses mengecat.
Ia dijayakan oleh Pertubuhan Prihatin Wanita Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan juga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Setakat ini, hanya enam rumah penduduk sahaja yang sempat dicat dengan warna pelangi yang siap sepenuhnya pada awal Jun tahun yang sama.
Tarikan baharu ini dapat dilihat ketika menelusuri Sungai Kelantan mahupun dari udara.
Menurut penduduk, Wan Nazimah Wan Mohamad, sejak penempatannya mengalami transformasi, dia menerima kunjungan ramai pelancong dari dalam dan juga luar negara.
Malah, menurutnya, ada yang datang dari Jepun, Vietnam dan Cina.
“Setiap yang datang tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dan ada di antara mereka yang memuat naik pemandangan fotogenik di media sosial sehingga menjadi bualan.
“Jika sebelum ini, penempatan kami begitu sunyi, namun kini setiap sebulan sekali pasti ada pelancong yang datang ke sini untuk merakam kenangan terindah berlatarbelakangkan warna rumah yang dicat warna pelangi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Jamilah Yusoff, 57, berkata memandangkan kawasan penempatan mereka kini menjadi tumpuan, penduduk mengadakan gotong-royong untuk menjaga kebersihan kawasan sekitar.
“Mengikut perancangan awal, sepatutnya kesemua 150 rumah penduduk di kawasan sekitar dicat dengan warna pelangi, namun disebabkan beberapa kekangan, hanya enam sahaja yang dapat disiapkan.
“Meskipun begitu, ada juga penduduk yang mengambil inisiatif mengecat sendiri rumah mereka,” katanya.