Rumah terbakar di Ulu Pasai Siong, tujuh penghuni hilang tempat berteduh
SIBU: Tujuh penghuni hilang tempat berteduh apabila rumah dua tingkat yang didiami terbakar di Ulu Pasai Siong, hari ini. Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Janggan Muling berkata sejurus menerima panggilan jam 3.14 petang, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah diketuai oleh PBK II Joseph Balon bersama dikerah ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis struktur separuh kekal dua tingkat telah terbakar 90 peratus,” jelasnya ketika dihubungi pemberita hari ini. Katanya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu kerana kesemua tujuh orang penghuni tiada di rumah.
“Kebakaran berjaya dikawal jam 4.43 petang dan kerja-kerja overhaul dijalankan. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya jam 5.28 petang,” ujarnya. Katanya, semasa operasi mengawal dan memadam kebakaran pasukan bomba mengalami masalah tiada pili bomba di lokasi.
“Perjalanan ke lokasi melalui jalan berlubang, licin dan tidak berturap serta tiada liputan radio,” tambahnya.
-Utusanborneo