Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2021 berlangsung dalam norma baharu

Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2021 berlangsung dalam norma baharu

KUALA LUMPUR,. Sambutan Rumah Terbuka Malaysia (SRTM) Tahun Baharu Cina 2021 menjadi acara rumah terbuka perayaan peringkat nasional yang pertama dilangsungkan dengan pendekatan amalan norma baharu sejak penularan COVID-19 di negara ini.

Kelainannya, sambutan acara yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum selain menampilkan nyanyian artis terkenal tempatan itu disiarkan di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya malam tadi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha kementerian itu sedikit sebanyak diharapkan dapat menceriakan lagi sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2021.

“Mengambil semangat Tahun Lembu yang ditafsirkan oleh masyarakat Cina sebagai memiliki daya tahan lasak dan kuat, rakyat harus mengambil semangat ini untuk terus tabah mengharungi ujian dan wabak ini agar dapat kembali mengharungi hari-hari seperti sediakala,” katanya dalam ucapan SRTM Tahun Baharu Cina Norma Baharu 2021.

SRTM Tahun Baharu Cina pada tahun ini buat julung kalinya diadakan menerusi platform dalam talian bagi mematuhi konsep norma baharu dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Program itu turut disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya, malah acara menggaul Yee Sang oleh Muhyiddin bersama Nancy dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut diadakan secara berasingan dari lokasi masing-masing.

Dalam pada itu, Wee berkata SRTM norma baharu itu amat bertepatan sebagai platform merapatkan hubungan silaturahim, sekali gus mengekalkan suasana harmoni dan muhibah dalam komuniti Tionghua dan juga masyarakat lain di Malaysia.

“Kita berasa sangat bersyukur dan bertuah kerana pihak kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Cina melalui sokongan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

“Kita turut berasa bersyukur kerana diberi kebebasan mengamalkan adat resam, budaya dan agama dengan aman dan harmoni dalam satu rumpun Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This