Rundingan perjanjian perdagangan fasa pertama AS-China diteruskan

Rundingan perjanjian perdagangan fasa pertama AS-China diteruskan

BEIJING,. Perunding utama China dan Amerika Syarikat (AS) menerusi panggilan telefon hari ini, membincangkan fasa pertama perjanjian ekonomi membabitkan kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu.

Perkara itu disahkan Kementerian Perdagangan Beijing dan perbincangan tetap dijalankan walaupun hubungan AS-China tegang sejak akhir-akhir ini membabitkan beberapa isu.

AS dan China memeterai perjanjian itu pada Januari dan Beijing bersetuju untuk mengimport AS$200 bilion (RM834 bilion) tambahan produk negara itu selama dua tahun, melebihi tahap yang dibeli pada 2017, menandakan gencatan dalam perang perdagangan.

Bagaimanapun, kesan daripada COVID-19 memberi tekanan kepada perjanjian itu apabila China tidak melakukan pembelian sebagaimana dimuktamadkan sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri China, Liu He, bercakap dengan Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Jabatan Perbendaharaan, Steven Mnuchin menerusi perbualan telefon dan kedua-dua pihak bersetuju bagi meneruskan perjanjian berkenaan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju mewujudkan keadaan persekitaran yang mampu untuk meneruskan pelaksanaan fasa pertama perjanjian ekonomi dan perdagangan AS-China,” katanya.

Beijing turut berkata, kedua-dua negara itu turut melakukan dialog bagi menguatkan koordinasi bagi polisi makroekonomi.

Beberapa minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah membangkitkan kenyataan retorik terhadap China termasuk mempersoalkan sama ada perjanjian perdagangan itu dapat dilanjutkan bagi fasa kedua. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This