RUU Antilompat Parti: N. Sembilan adakan sidang khas DUN pada Oktober

RUU Antilompat Parti: N. Sembilan adakan sidang khas DUN pada Oktober

SEREMBAN,. Kerajaan Negeri Sembilan dijadual mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada Oktober ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selain itu, sidang berkenaan juga akan membentangkan satu lagi pindaan RUU yang akan dimaklumkan kemudian.

“Ketika ini kita tengah muktamadkan RUU itu, kalau sempat kita akan maklumkan, insya-Allah pada Oktober ini, tarikh akan dimaklumkan nanti, ada dua (perkara dibincangkan), kalau bolehlah, kalau tak boleh kita buat satu (bentang RUU),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri telah bersetuju mengenai pelaksanaan RUU itu dengan segera setelah ia diwartakan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan bersetuju menaikkan jumlah biasiswa daripada RM100 kepada RM150 sebulan selama setahun kepada 900 mahasiswa yang menerima bantuan di bawah yayasan itu dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menzahirkan takziah atas pemergian Pengasas DAP Dr Chen Man Hin hari ini dan menyifatkan ia kehilangan besar buat parti berkenaan selain berharap perjuangan demokrasi mendiang sebelum ini dapat diteruskan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata pihaknya menyambut baik keputusan PKR yang mahu menampilkan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden parti bagi mengetuai pasukan negeri berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Ini merupakan pertama kali dibuat PKR, ia menunjukkan selepas pemilihan, parti dalam keadaan baik dan bukan hanya untuk berpolitik tetapi bawa harapan untuk rakyat, tak nampak ada perebutan dan kita diterima semua lapisan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This