Sabah atasi Sri Pahang, lonjak ke puncak Liga Super

Sabah atasi Sri Pahang, lonjak ke puncak Liga Super

KUALA LUMPUR,. Sabah FC berjaya merampas kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Skuad Tambadau membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi penyerang import dari Brazil Neto Pessoa.

Sabah meningkatkan jurang lapan minit kemudian selepas pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama tangkas mengatasi empat pemain pertahanan sebelum mengegarkan gawang, manakala Sri Pahang mengurangkan defisit menerusi penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-60.

Skuad Tok Gajah terdahulu dihadiahkan sepakan penalti selepas tonggak pertahanan Rizal Ghazali menjatuhkan Sean Giannelli di dalam kotak penalti.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berada di persada liga dengan 18 mata selepas lapan perlawanan, kelebihan dua mata berbanding juara lapan kali berturut-turut JDT yang mengumpul 16 mata selepas enam perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Melaka United gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengatasi Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat.

Terengganu FC pula berjaya keluar dari zon penyingkiran untuk meraih kedudukan keenam selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Dua gol skuad Penyu itu diperolehi menerusi pemain import dari Bahrain, Habib Haroon pada minit ke-74 dan pemain kelahiran Jerman, Manuel Ott pada minit ke-80 di hadapan lebih kurang 6,000 penyokong.

Petaling Jaya (PJ) City FC pula sekadar terikat 1-1 menentang pasukan tercorot carta, Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
PJ City membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi S. Kumaahran apabila rembatannya terkena kepala pemain pertahanan skuad tuan rumah sebelum meluru masuk ke gawang gol.

Namun, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Anselmo da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande pada minit ke-63.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )