Sabah benarkan pengangkutan awam beroperasi mulai Isnin – Hajiji Noor

Sabah benarkan pengangkutan awam beroperasi mulai Isnin – Hajiji Noor

KOTA KINABALU,. Kerajaan negeri Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan operasi pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas ekspres, bas persiaran, bas henti-henti, kereta api, perkhidmatan feri awam dan bot penumpang yang melibatkan rentas negeri dan daerah mulai Isnin ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata ini selaras dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah bagi tempoh 14 hari lagi sehingga 20 Dis yang turut memberi beberapa kelonggaran terhadap aktiviti ekonomi, pelancongan domestik, industri, hiburan dan pengangkutan awam.

Beliau berkata operasi pengangkutan awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk hanya 50 peratus kapasiti penumpang dan perlu memastikan pematuhan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Perkhidmatan teksi dan e-hailing juga dibenarkan beroperasi dengan maksimum dua penumpang dan memastikan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan serta pemakaian pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya berkata keputusan melanjutkan tempoh PKPB di Sabah adalah berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang mendapati masih terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa daerah di negeri itu.

Kerajaan turut mengambil keputusan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pergerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di Sabah ke tanah besar termasuk pergerakan bot-bot di kawasan pesisiran pantai hanya dibenarkan mulai 6 pagi hingga 6 petang dengan kapasiti 50 peratus.

Beliau berkata pergerakan bot nelayan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah turut dibenarkan mulai 6 pagi hingga 6 petang, namun, hanya di jeti-jeti dibenarkan sahaja.

“Kebenaran ini tertakluk kepada permit yang akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pergerakan semua kapal Non-Convention Ships (NCS) Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZone serta semua kapal NCS Malaysia dari perairan ESSZone ke Filipina dan Indonesia.

Kapal pengangkut ikan Indonesia ke Tawau dan kapal NCS dari Filipina yang melalui perairan Sabah untuk ke Labuan juga tidak dibenarkan, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This