Sabah di landasan tepat tingkat pelaburan langsung asing

Sabah di landasan tepat tingkat pelaburan langsung asing

KOTA KINABALU,. Sabah kini di landasan tepat dalam usaha mempertingkat serta menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Malah, kata beliau, lawatan kerjanya ke luar negara termasuk China untuk menarik pelabur baharu juga terbukti membuahkan hasil apabila ada di antara mereka menyatakan minat untuk melabur dalam sektor seperti perkilangan, pelancongan dan perhotelan.

“Kita lihat sudah ada banyak pelaburan di Sabah termasuk dalam kilang perabot dan pelancongan seperti pembangunan hotel dan penginapan di Lok Kawi.

“Saya turut meneliti setiap pembangunan itu termasuk masalah yang mereka (pelabur) hadapi. Jika mereka belum memperoleh kelulusan pembangunan, kita akan pastikan supaya perkara itu dapat dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2019 di sini, hari ini.

Program sehari anjuran MITI itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara kementerian tersebut dan agensinya dengan orang ramai menerusi pelbagai program seperti pameran perdagangan, kerjaya dan program e-dagang bersama rakyat.

Turut hadir Menteri MITI Datuk Darell Leiking.

Selain itu, Mohd Shafie berkata pihaknya akan terus komited untuk menarik lebih ramai pelabur bagi sektor yang menjadi keutamaan Sabah menerusi beberapa perancangan pelaburan untuk tahun depan dengan butirannya akan diumumkan pada pembentangan belanjawan negeri itu, kelak.

Ini termasuk usaha kerajaan negeri mempersiapkan kawasan perindustrian di Sandakan termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Kluster Industri Minyak Sawit di Lahad Datu, katanya.

“Tahun depan banyak (program pelaburan) ‘Invest Sabah’ yang akan memaparkan sektor mana menjadi keutamaan. Kita juga akan memberi bimbingan (kepada pelabur) bukan hanya dari segi dasar terbabit tetapi juga memudahcara untuk menarik mereka,” katanya.

Selain itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan meneliti cadangan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad Tan Sri Tony Fernandes supaya operasi Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dibuka semula.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohd Shafie semalam, Tony berkata Kota Kinabalu masih menjadi keutamaan AirAsia selain berhasrat melakukan penerbangan terus dari Seoul, Korea Selatan ke Kota Kinabalu pada Ogos tahun depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This