Sabah garis lima pelan perancangan untuk jadi negeri perindustrian menjelang 2030

KOTA KINABALU,. Kerajaan negeri Sabah telah menggariskan lima pelan dalam usaha mentransformasikan negeri Sabah menjadi sebuah negeri perindustrian menjelang 2030.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata lima pelan itu termasuk mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif, pragmatik dari segi pembuatan serta pencapaian sasaran, program, aktiviti dan inisiatif.

Selain itu, kerajaan juga akan memudah cara kemasukan pelaburan asing (FDI) dan pelaburan domestik ke Sabah.

“Bagi tujuan itu, mesyuarat Kabinet pada Rabu telah bersetuju agar sebuah badan atau agensi baharu akan diwujudkan iaitu Lembaga Pelaburan Sabah untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan yang lebih efektif dan efisien kepada pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sempena Majlis Anugerah Usahawan Sabah 2019, di sini malam ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga sedang mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi oleh pelabur antaranya kekurangan bekalan elektrik dan kekurangan tanah perindustrian sedia ada serta harga yang tinggi dan penambahbaikkan kemudahan pelabuhan.

Katanya kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan usaha untuk mempromosikan Sabah kepada pelabur asing dan domestik.

Justeru, misi pelaburan juga akan difokuskan kepada negara terpilih seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Kerajaan juga akan mempertingkat kerjasama erat dan hubungan baik dalam kalangan agensi, jabatan dan kementerian agar setiap agensi kerajaan memahami dan sehaluan serta saling membantu dalam usaha mengindustrikan Sabah,” katanya.

Pada majlis itu turut dilancarkan Sistem Informasi Usahawan Sabah (SENTIS) untuk usahawan mendaftarkan perniagaan masing-masing.

Majlis bertemakan “Kearah Sebuah Negeri Perindustian 2030” itu turut memberi penganugerahan kepada 100 usahawan melalui Anugerah Usahawan Sabah 2019 manakala 15 syarikat terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Industri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )