Sabah hentikan sementara perniagaan tukar barang, operasi ladang sawit

Sabah hentikan sementara perniagaan tukar barang, operasi ladang sawit

KOTA KINABALU, 24 Mac — Perniagaan tukar barang (barter trade) dan operasi beberapa ladang kelapa sawit di Sabah akan dihentikan sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kemudian dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan berkenaan dibuat melalui mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri hari ini yang memutuskan sistem niaga berkenaan perlu dihentikan seketika sehingga wabak itu dapat dibendung.

“Aktiviti ini agak membimbangkan kerana ia membabitkan pekerja yang datang dari luar yang belum diketahui tahap kesihatan mereka.

“Kita tahu sistem perniagaan tukar barang ini melibatkan kapal-kapal dari luar seperti Indonesia yang datang untuk bertukar barang di Sabah dan ada juga kapal dari Hong Kong yang memuatkan ikan hidup dari Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata selain itu kerajaan juga telah mengarahkan beberapa ladang kelapa sawit di Kinabatangan dan Felda Sahabat, Lahad Datu untuk menghentikan sementara operasi termasuk mengutip buah bermula hari ini.

“Arahan itu dikeluarkan disebabkan terdapat banyak kontak kes positif COVID-19 daripada kluster tabligh Masjid Seri Petaling berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata selain itu arahan juga dikeluarkan agar semua jemaah yang mengikuti Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan, dikuarantin di sebuah pusat kuarantin di Tawau sebelum dibenarkan balik ke kampung masing-masing.

“Mereka akan dikuarantin untuk satu tempoh yang lebih lama untuk memastikan mereka benar-benar bebas daripada wabak COVID-19. Kami tidak mahu mereka balik ke kampung masing-masing sekiranya mereka belum disahkan benar-benar sihat.

“Setakat ini saya difahamkan terdapat lima orang jemaah berkenaan sedang dikuarantin dan akan ada sembilan orang lagi bakal tiba di pusat kuarantin berkenaan. Namun kami belum mengetahui berapa sebenarnya jumlah mereka yang hadir ke perhimpunan itu,” katanya.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur untuk memberi bantuan kepada pelajar asal negeri ini yang belajar di luar Sabah.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kerajaan Sabah telah membangunkan sebuah laman sumber yang mengandungi maklumat penting mengenai COVID-19 di negeri ini.

Beliau berkata laman sumber http://covid19.sabah.digital/ itu merupakan satu inisiatif kerajaan untuk memberikan maklumat terkini dan sahih kepada rakyat.

“Selain itu laman ini juga merupakan satu platform yang membolehkan rakyat untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan secara terus kepada kerajaan berkenaan sebarang masalah yang timbul kesan daripada wabak ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This