Sabah hidupkan peluang kekal dalam Liga Super

Sabah hidupkan peluang kekal dalam Liga Super

KUALA LUMPUR,. Pasukan Sabah kembali menghidupkan peluang mereka untuk kekal bersaing dalam kempen Liga Super pada musim hadapan, selepas mengatasi Melaka 3-2 pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Kemenangan kedua diraih skuad Tambadau kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu menyaksikan mereka naik dua anak tangga ke kedudukan kesembilan dengan sembilan mata, manakala Melaka kekal berada pada kedudukan ketujuh daripada 12 pasukan, setelah mengumpul 11 mata daripada sembilan perlawanan.

Pada aksi tersebut, penyerang import dari Nigeria Uche Agba, meletakkan Melaka di hadapan, selepas memanfaatkan hantaran daripada rakan sepasukan pada minit ke-15, sebelum Sabah menyamakan kedudukan menerusi sentuhan penyudah daripada Dennis Buschening, selang sembilan minit kemudian.

Penyerang import dari Haiti Sony Norde, kembali meletakkan Melaka di hadapan pada masa kecederaan babak pertama perlawanan, sebelum Sabah bangkit meledak dua jaringan, masing-masing menerusi gol padang Buschening pada minit ke-64, serta sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Serbia Rodoljub Paunovic pada minit ke-72.

Dalam saingan Liga Premier, Terengganu FC II meraih kemenangan kelima musim ini, setelah menundukkan Kelantan United FC menerusi keputusan 3-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Kemenangan kelima diraih pasukan berkenaan pada musim ini, menyaksikan mereka naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga carta Liga Premier menerusi kutipan 16 mata, manakala kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Kelantan United FC, pada kedudukan kesembilan dengan sembilan mata selepas sembilan perlawanan.

Pada aksi di Kota Bharu, Mohd Khairul Izuan Rosli meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-17, sebelum Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat, selang enam minit kemudian.

Penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah kembali meletakkan pasukan pelawat di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-24 dan ke-45, sebelum pasukan tuan rumah merapatkan defisit jaringan hasil sepakan penalti disempurnakan Alfusainey Gassama pada minit ke-63.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This